TELOK BAHANG, 10 Ogos – Berbaki sehari berkempen yang akan berakhir pada esok tengah malam, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah mengharapkan jentera parti BN dan Pakatan Harapan (PH) terus konsisten merayu pengundi.

Ini kerana katanya, jentera perlu bekerja keras untuk beroleh kemenangan dan bekerja sehingga ke akhir garisan penamat.

“Jentera parti dari BN dan PH telah memberi komitmen seratus peratus membantu sepanjang berkempen pada PRN. Ini menunjukkan keakraban yang telah terbina hingga ke akar umbi antara kedua-dua parti.

“Saya dapat lihat kedua-dua parti bergabung dan berkerjasama mempunyai satu visi yang sama untuk memenangkan kembali DUN Teluk Bahang.

“Saya mohon pada kali ini diberi mandat untuk mewakili Kerajaan Perpaduan supaya selepas 15 tahun wakil rakyat yang bersuara dalam kerajaan negeri mewakili penduduk di Teluk Bahang ini supaya dapat menyelesaikan segala isu dan mengambil peluang ini untuk menjadi kerajaan negeri yang selari dengan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambahnya, sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melihat banyak impak yang positif.

“Saya lihat gabungan kedua-dua parti memberi impak yang positif kerana kali ini bukan sahaja mendapat pengundi satu bangsa tapi dapat juga dari Melayu, Cina dan India dari parti penyokong PH.

“Ini jelas menunjukkan formasi asas berlaku di negara apabila ketiga-tiga bangsa dan semangat ditunjukkan kembali. Inilah Malaysia yang asal perjuangkan selama ini,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama kata Zaki Shah lagi sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di Teluk Bahang, beliau akan berusaha mengadakan perjumpaan secara santai dengan anak muda.

“Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat akan mengurangkan birokrasi antara wakil rakyat dengan anak-anak muda. Banyak perjumpaan santai akan dilakukan secara ‘direct’.

“Banyak maklum balas diterima kerana mereka agak sukar kerana birokrasi kerenah pejabat dan sebagainya. Mereka lebih santai tapi bukannya bermaksud sambil lewa atau mengambil kesempatan tapi mereka lebih mudah didekati sekiranya dekati cara sebegitu,” ujarnya.