TELUK BAHANG, 10 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayob Hussain Shah berkata hasil kombinasi jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini mampu membuahkan kemenangan.

Katanya, walaupun kerjasama ini buat pertama kali, terbentuk dalam masa yang singkat dan mempunyai tatacara kerja yang berbeza, jelas keserasian dalam gerak kerja yang dilakukan.

“Terima kasih atas gabungan ini dan apabila kita bekerjasama dengan PH tatacara kerja kita berbeza. PH ada cara lain dan kita BN cara lain. Dan saya dapati apabila ada kombinasi ini saya rasa kita bergerak tidak pakai masa terlalu banyak.

“Maksudnya masing-masing dengan kumpulan sasaran dan pengundi masing-masing dan kemudian bersama menganalisa, membuat kajian dan beri penerangan. Jika calon mereka kita hantar data pengundi kita dan sebaliknya apabila melibatkan calon kita.

“Misalnya saya ketua bahagian ada tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Teluk Bahang UMNO/BN bertanding. Di Pulau Betong PH/PKR dan Bayan Lepas PH/Amanah. Di Pulau Betong UMNO jaga pengundi UMNO/BN, PKR jaga pengundi mereka dan bertukar data. Ini lagi cepat dan (kempen) hanya hendak bagi orang faham (isu),” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas mengenai kempen PRN kali ini, Shah Headan berkata mereka akan lebih berhati-hati dengan corak kempen Perikatan Nasional (PN) yang dilihat sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu mempunyai sumber kewangan yang besar.

“Saya kena akui bukan mudah hendak menang sebab PRU15 ketika saya bertanding di peringkat Parlimen, minggu pertama kita ada sebanyak mungkin pengundi putih 29 ribu tetapi minggu kedua serangan yang hebat, perjalanan ‘peluru’ cukup kuat sehingga mereka dapat mengenal pasti pengundi putih tidak keluar mengundi macam di kawasan saya dekat tujuh ribu pengundi putih tidak keluar.

“Bila kita dapati… ada sesuatu yang Perikatan Nasional buat yang semua orang tahu. Sekarang, saya kena lebih berjaga-jaga minggu kedua ini apa yang mereka hendak buat, saya takut ‘pelincir’ laju. Saya nasihat kalau orang bagi ambil, undi Barisan Nasional. Begitu juga di Pulau Betong dan Bayan Lepas,” katanya.

Tindakan PN itu juga ujarnya jelas merosakkan sistem yang wujud di negara ini dan pengundi muda sebagai generasi masa hadapan.

Menjelang hari pengundian Sabtu ini, Shah Headan berharap agar pengundi membuat pertimbangan yang sewajarnya dengan memilih BN khususnya bagi DUN Teluk Bahang.

“Saya harap pengundi Teluk Bahang ini lihatlah rekod Barisan Nasional telah bawa banyak kemajuan di sini, dulu tiada balai bomba dan dewan masyarakat, dulu sekolah kena pergi jauh di Batu Feringghi, kita dapatkan sekolah rendah dan menengah.

“Bantulah UMNO kembali ketika UMNO tengah jatuh atas serangan fitnah dan sebagainya tetapi hari ini tolong UMNO beri satu kerusi untuk UMNO terus berkhidmat. Dulu UMNO bantu, kini bantulah UMNO.

“Saya harap pengundi ingatlah kembali jasa UMNO. UMNO parti besar, pernah memerintah. Tidak salah apa pun UMNO, tetapi serangan fitnah terlalu banyak,” katanya.